Oleh: DR. HM TUAH ISKANDAR al-Haj
www.drtuah.com
Kalau menonton kisah Haji Bakhil dalam filem “Labu Labi”, kita akan setuju untuk mengatakan orang lelaki kebanyakannya memang kededut. Kajian psikologi pula memberikan jawapan yang berbeza. Orang perempuan selalunya lebih kedekut sebab hendak berjimat manakala orang lelaki pemurah atau boros sebab nak tunjuk lagak.
Anda jadi amat boros apabila menghendaki sesuatu, misalnya gelang, rantai dan perhiasan-perhiasan diri yang lain dan sanggup berhabisan untuk mendapatkannya. Lelaki pula akan menganggap perlakuan seperti itu sebagai amat membazir dan tak patut dilakukan.
Samalah juga, tatkala suami membeli kereta import dengan harga tiga empat kali harga kereta tempatan, anda mengatakan dia boros dan tak tahu berjimat padahal dia menganggap anda tak faham serta tidak pandai menilai istilah kualiti dan jenama. Kadang-kadang dia akan anggap anda ketinggalan zaman.
Lelaki selalunya kurang fokus kepada sesuatu perkara. Maka itu, pada waktu dia bercinta dengan wanita A, dalam masa yang sama dia boleh bercinta dengan sepuluh lagi wanita lain. Anda berbeza, kan? Ketika anda telah menyintai seorang lelaki anda setia kepadanya.
Pun saya tidak menafikan, ada wanita yang lebih buaya daripada segala buaya. Dia bercinta dengan ramai lelaki untuk mengikis harta lelaki-lelaki berkenaan. Sesetengahnya berbuat begitu atas dendam peribadi.
Satu lagi yang anda patut tahu tentang lelaki ialah, mereka hanya akan meminta bantuan setelah benar-benar tidak berupaya. Anda pula meminta dan memberi bantuan sebagai tanda sayang dan hendak bermanja.
Ketika dengan kawan-kawan anda suka bercakap tentang pasangan masing-masing, sedangkan orang lelaki akan lebih gemar bercerita tentang perempuan lain. Kadang-kadang hingga dia terlupa dia telah pun berkahwin dan hanya menyedarinya apabila pulang semula ke rumah.
Biasa orang lelaki kembali ‘bujang’ tatkala di luar tetapi menjadi suami tatkala pulang ke rumah.
Semula jadinya lelaki dianggap ketua. Dia merasakan dirinya ketua lebih-lebih lagi jika gelaran itu tidak diperolehinya di luar, di rumah dia akan bertindak ketua; kadang-kadang adil, kadang-kadang tidak; kadang-kadang rasional, kadang-kadang langsung tidak; kadang-kadang logik dan boleh diterima akal, kadang-kadang langsung tidak berpijak di bumi nyata.
Semula jadinya pula, sebagai wanita anda lebih suka mengikut keputusan yang telah dibuat. Walaupun anda tidak bersetuju selalunya anda tidak mempamerkannya. Anda memprotes melalui gerak tubuh dan mimik muka meskipun anda patuh, akur dan melaksanakan apa yang telah diputuskan itu.
Lelaki pula apabila dia tidak puas hati dia akan keluar dari rumah. Seorang wanita menghantar SMS begini kepada saya, “Lelaki ini lemah mental. Apabila anak berbuat ragam dia terus keluar, konon cari ketenangan. Tak fikir kita yang ditinggalkan sorang-sorang berdepan dengan masalah.”
Sebenarnya ada 1001 lagi perbezaan antara lelaki dengan wanita. Apa yang saya ketengahkan dalam dua siri sebelum ini hanya sebahagian kecil. Sememangnya antara lelaki dengan wanita tidak akan sama; dari struktur tubuh hinggalah cara fikir, segala-galanya berbeza.
Yang nyata sama adalah secebis keinginan untuk menikmati hidup secara bersama di bawah bumbung bernama perkahwinan. Jika sesuatu terjadi, ia lumrah lantaran perbezaan, tetapi alangkah baiknya jika lebih banyak persamaan dapat diwujudkan atas nama kasih sayang dan persefahaman.
Tanpa wanita, lelaki kesepian, tanpa lelaki wanita kesunyian. Tanpa kedua-duanya alam ini tiada ertinya. Maka itu, Nabi Adam a.s. tidak pernah berhenti berusaha mencari Hawa setelah diturunkan ke bumi. Juga Hawa tidak pernah berhenti daripada mengingati dan cuba mengesan Adam a.s.
Hidup itu perkongsian. Berbahagialah orang yang memahami maksud perkongsian.
Thursday, February 18, 2010
Apabila lelaki sepi, wanita sunyi
Posted by sepi at 12:34 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment