KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Rancangan Malaysia Ke10 (RMK10) yang dibentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pada Khamis memberi penekanan ke arah memperkukuhkan sistem pendidikan, bermula daripada pendidikan awal kanak-kanak sehingga ke pengajian tinggi.
Perkara ini terkandung dalam satu daripada lima teras strategik ke arah mencapai objektif dan sasaran RMK10 -- iaitu Membangun dan Mengekalkan Modal Insan Bertaraf Dunia.
Najib berkata kerajaan berhasrat menjadikan profesion perguruan sebagai kerjaya pilihan kepada calon yang cemerlang.
Bagi meningkatkan kualiti pelajar, nisbah guru siswazah di sekolah rendah akan ditingkatkan daripada 28 peratus kepada 60 peratus, manakala bilangan guru berkualiti akan ditambah bagi meningkatkan prestasi pelajar dalam mata pelajaran kritikal terutama Bahasa Kebangsaan, bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, katanya.
Bagi memperhebat kualiti guru prasekolah pula, Najib berkata, syarat kelayakan pelantikan guru prasekolah akan ditingkatkan kepada Diploma dan Sarjana Muda.
Bagi memenuhi keperluan guru bahasa Mandarin di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina serta Sekolah Kebangsaan, lulusan Unified Examination Certificate (UEC) yang telah memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diberi pertimbangan mengikuti pengajian di institut pendidikan guru bagi program bahasa Cina.
Pertimbangan yang sama juga akan diberi kepada lepasan Sijil Menengah Agama atau Sijil Tinggi Agama kelolaan Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam negeri-negeri yang telah memiliki SPM untuk menjadi guru program pendidikan agama Islam dan J-Qaf, kata Perdana Menteri.
Najib berkata bilangan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) akan ditambah kepada 100 buah pada akhir tahun 2012 yang terdiri daripada sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah harian dan sekolah berasrama penuh.
Sejumlah 20 buah sekolah telah diberi status SBT, yang ditubuhkan untuk membolehkan pelajar mencapai kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan, berdasarkan pencapaian dan prestasi mereka.
Perdana Menteri juga mengumumkan bahawa Sekolah Amanah atau Trust Schools, akan diperkenalkan untuk memudah cara perkongsian awam dan swasta dalam pengurusan sekolah kerajaan yang terpilih.
Sekolah tersebut akan diberi autonomi oleh kerajaan dan dengan itu dipertanggungjawabkan meningkatkan prestasi pelajar, katanya.
"Autonomi ini termasuk keanjalan mengubah suai kurikulum pembelajaran, menggunakan peruntukan mengikut keperluan, memberi insentif kepada guru mengikut tahap prestasi serta memilih guru dan staf sokongan," katanya.
Najib berkata kerajaan akan terus membantu sekolah bantuan modal, dan bagi tujuan mengubah suai dan menaik taraf sekolah jenis ini, peruntukan RM280 juta disalurkan bagi tempoh 2011 dan 2012.
Dengan ini setiap satu kategori sekolah bantuan modal, iaitu sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah jenis kebangssan Tamil, sekolah agama dan sekolah mubaligh, akan memperoleh peruntukan tambahan RM70 juta setiap satu dalam tempoh 2011 dan 2012.
Bagi membiayai pembayaran utiliti, kerajaan akan memberi bantuan berdasarkan bil elektrik dan air sebenar sehingga RM2,000 sebulan bagi setiap sekolah bantuan modal. Peruntukan ini akan melibatkan hampir 1,900 buah sekolah bantuan modal.
Tuesday, June 15, 2010
RMK10 Beri Tumpuan Kepada Perkukuh Sistem Pendidikan
Posted by sepi at 11:56 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment